Ahad, 15 Februari 2009

Peliharalah Jin yang bernama Ra(Ra Jin)

Pekara yang saya ingin perkatakan ini berkaitan atau menyentuh kesemua individu tidak kira anda kecil atau besar, anda lelaki atau anda perempuan, anda baik atau tak baik, anda berbangsa Eropah atau anda berbangsa Asia atau bangsa apa sekalipun anda.



Tajuk yang saya letak di atas yang sebenarnya saya ambil dari guru saya yang mengajar subjek Bahasa Malaysia, kalau saya tak silap guru berkenaan bernama Cikgu Sharifah Aini yang mengajar saya sewaktu saya bersekolah di Sekolah Alam Shah, Jalan Cheras(kini nama Jalan ini telah diubah kepada Jalan Yaacob Latiff). Kerana Cikgu Sharifah Ainilah yang menyarankan kepada murid-murid kelas kami[mungkin murid-murid kelas lain juga] supaya memelihara Jin yang bernama Ra atau dengan lain perkataan sebagai pelajar kita kenalah rajin bukannya malas.

Selepas itu ketika saya menuntut di UiTM[pada ketika itu masih lagi ITM namanya] pada tahun 1985, sewaktu latihan kokurikulum[kesatria]jurulatih kesatria yang merupakan anggota tentera turut menyentuh isu malas dan rajin. Kata anggota tentera tersebut sewaktu memperkatakan tentang mengilap kasut menggunakan jenama Kiwi, para pelatih kesatria hendaklah menggunakan jenama Kiwi yang "R" bukannya "M". Beliau yang sebenarnya cuba menekankan bukan jenama penggilap kasut yang memainkan peranan di dalam menentukan kilatnya sepasang kasut itu sebaliknya sikap Rajin atau Malas seseorang penggilap kasut itulah penentunya kasut yang digilap itu berkilat atau tidak berkilat.

Kini cerita sewaktu saya bertemujanji yakni "appointment" dengan seorang doktor atau Pegawai Perubatan. Saya melihat pada kelulusannya melalui cop getah yakni "Rubber Stamp" pada namanya yang memaparkan bahawa beliau adalah graduan dari Ireland[yang setahu saya graduan dari Dublin, Ireland di dalam bidang perubatan adalah yang terbaik di dunia]lantas saya pun memujinya kerana sudah tentu beliau adalah pelajar terbaik dari Malaysia, yang telah terpilih untuk melanjutkan pengajian di sana. Namun, dengan mentah-mentah beliau menyangkal dakwaan saya tersebut dengan mengatakan walaupun pandai tetapi jikalau seseorang pelajar itu malas tiada gunanya juga. Atau dengan lain perkataan walaupun kita berotak bijak namun kalau tidak digunakan dengan betul, kalau kita masih bersikap malas juga, kebijaksanaan kita itu tidak akan mampu membawa kita kemana.

Ketiga-tiga kisah di atas yang sebenarnya menurut urutan walaupun saya hanya menyatakan tahun 1985 pada kisah yang kedua. Untuk lebih jelas dan meyakinkan, tentang urutan kisah di atas ialah

Kisah pertama berlaku sewaktu saya masih di sekolah menengah, di Kuala Lumpur.

Kisah kedua pula berlaku sewaktu saya sudah pulang dari Australia lantaran terpaksa berhenti dari pengajian lebih awal disebabkan masalah kesihatan, dan saya pada waktu itu sedang menuntut di ITM Kuantan, yang juga tidak dapat menghabiskan pengajian kerana masalah kesihatan yang sama.

Kisah ketiga pula berlaku sewaktu saya sudah berada di alam perkahwinan dan sudah pun mempunyai beberapa orang anak.

Dan sekarang saya cuba berkongsi dengan anda semua tentang tujuan malas dicipta di dalam diri manusia dan kenapa tidak manusia itu senantiasa rajin, dan tidak pernah malas-malas dalam hidupnya. Yang sebenarnya sifat malas di dalam diri manusia itu ada fungsinya, sepertimana fungsinya orang jahat di dalam dunia ini. Tentang sifat malas ini yang saya nampak fungsinya ialah sekiranya seseorang itu senantiasa rajin, maka dia tidak akan berfikir tentang arahan yang diberikan kepadanya, kerana dia akan terus melaksanakan. Sedangkan mungkin, orang yang memberi arahan itu mempunyai agenda di sebalik itu. Tetapi kerana dia[pemberi arahan]itu sudah tahu, faham benar bahawa arahannya akan dilaksanakan tanpa usul periksa dan tanpa ada syak wasangka olehnya maka dia pun mulalah mempergunakan orang yang rajin itu. Yang sebenarnya saya tidak ingin memaksa minda saya untuk pergi lebih jauh lagi di dalam isu malas ini cukup sekadar menyatakan malas itu pasangannya rajin, sepertimana lelaki pasangannya perempuan.

Renung-renungkanlah Jin bernama Ra iaitu Rajin.
Salam hormat dari saya.